IBRAH : TAQWA HANZALAH AL-USAIDI R.A DAN ABU BAKAR R.A


Image

 

 

Renungilah kewaspadaan sahabat Rasulullah S.A.W terhadap bahaya munafik di dalam diri. Ketika Hanzalah merasakan bahawa dirinya telah munafik dan beliau ke masjid yang pada fikirannya bahawa Rasulullah S.A.W ada di sana. Hanzalah terserempak dengan Saidina Abu Bakar r.a. Lalu, Hanzalah berkata dengan penuh kerisauan,

“Wahai Abu Bakar! ketahuilah sesungguhnya Hanzalah telah munafik. Ketika aku bersama Rasulullah aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka sangat hampir kepadaku. Aku menangis kerana takut akan neraka. Namun di rumah, aku ketawa riang bersama anak-anak dan isteriku. Hilang tangis aku ketika aku bersama Rasulullah. Aku telah menjadi munafik.”

Lantas Saidina Abu Bakar terkejut dan berkata,

“Jika begitu, aku pun telah munafik. Aku pun sama denganmu wahai Hanzalah.”

Kedua-dua sahabat ini menemui Rasulullah S.A.W di dalam tangisan yang tidak terhenti. Ketakutan terhadap azab yang dijanjikan akan dikenakan kepada orang munafik benar-benar menyelubungi hati dan perasaan mereka.

Di dalam keadaan iman menuntuni jiwa mereka, Hanzalah bersuara.

“Wahai Rasulullah, Hanzalah telah munafik.” Rasulullah bertanya, “Kenapa?” Lantas Hanzalah berbicara, “Ketika aku bersamamu wahai Rasulullah, aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir. Lantas air mata aku mengalir. Tetapi ketika aku di rumah, aku bergurau senda keriangan bersama-sama anak-anak dan isteriku. Tidakkah aku seorang munafik?”

Rasulullah tersenyum.

Lalu baginda bersabda,

“Demi yang jiwaku di tangan-Nya, andai kalian tetap berzikir seperti kalian disisiku dan terus berzikir nescaya para Malaikat akan berjabat tangan kalian, sedangkan kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu untuk beribadah dan ada waktumu untuk duniamu.”

 

IBRAH 

Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim memberi kita gambaran kehidupan para sahabat yang memberi pengajaran kepada kita terhadap sifat taqwa yang ada dalam diri mereka hasil daripada didikan Rasulullah. Setiap kali melakukan perkara yang dirasakan salah atau berdosa, iman dan taqwa sentiasa menuntuni jiwa mereka untuk risau dan bermuhasabah kepada diri mereka meskipun perkara tersebut sekecil-kecil perkara.

Mampukah kita mendidik anak-anak kita agar lahirnya ‘Hanzalah’ (anak berjiwa taqwa seperti Hanzalah r.a) di dalam keluarga kita?

InsyaAllah!

 

Redha Dengan Qada’ : Manifestasi Keimanan


Dunia hanya persinggahan, berlumba-lumba bercucuk tanam di dunia (dengan amalan) agar berbahagia di negeri akhirat

Dunia hanya persinggahan, berlumba-lumba bercucuk tanam di dunia (dengan amalan) agar berbahagia di negeri akhirat

Islam mendidik penganutnya untuk bersifat redha. Redha bermaksud menerima dengan berlapang dada dengan apa yang diberikan oleh Allah Taala samada berupa peraturan mahupun qada’ ataupun sesuatu ketentuan daripada Allah Taala.

Firman Allah,

Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu seperti orang-orang kafir yang mengatakan kepada saudara-saudaranya apabila mereka mengembara di bumi atau berperang, Sekiranya mereka tetap bersama kita, tentulah mreka tidak mati dan terbunuh.” (dengan perkataan) yang demikian itu, kerana Allah hendak menimbulkan rasa penyesalan di hati mereka. Allah menghidupkan dan mematikan, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.
(Al Imran : 156)

Redha merupakan  manifestasi keimanan kepada qada dan qadar. Merasa yakin pada lisan belum tentu yakin pada hati. Maka Allah Taala dengan kehendak-Nya menguji manusia dengan pelbagai ujian termasuk kesusahan dan kesenangan untuk menentukan tahap keimanan seseorang.

Bagi jiwa hamba yang tidak redha, tiadalah berjaya dia menempuh ujian daripada-Nya. Bagi jiwa hamba yang redha, dia tahu pengakhiran hidup ini bukanlah di dunia, tetapi di negeri Akhirat. Maka Allah akan kurniakan kesabaran kepadanya kerana redhanya ia pada ketentuan-Nya.

REDHA BUKAN BERERTI BERPUTUS ASA

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda,

Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada orang mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Kejarlah dengan sungguh-sungguh apa yang berguna bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah SWT, dan janganlah kamu menjadi orang yang lemah.Apabila kamu ditimpa suatu kemalangan, janganlah kamu mengatakan “seandainya tadi saya berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu.” Tetapi katakanlah, “Ini sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.” kerana sesungguhnya ungkapan “seandainya” akan membukakan godaan bagi syaitan.
(Riwayat Muslim)

Hadis di atas bermaksud bahawa Rasululah SAW melarang seseorang mengucapkan “seandainya…”, “kalaulah…”, atau seumpama dengannya ketika terjadi sesuatu yang merugikan atau musibah. Sebaliknya, Rasulullah mendidik umatnya agar mengatakan, “Cukuplah Allah Bagiku.” kerana dengan menyebut perkataan itu setelah melakukan usaha-usaha dan hal yang tidak diingini berlaku juga, maka dia termasuk orang-orang yang terpuji.

Namun jika dia berasa lemah dan tidak berusaha apa yang sepatutnya dia lakukan dan menyebutkan perkataan tersebut (Cukuplah Allah Bagiku), maka dia termasuk orang tercela kerana dengan sengaja meninggalkannya tanpa berusaha terlebih dahulu, sehingga ucapan itu menjadi tidak bermanfaat bagi dirinya.

Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.
( Riwayat Muslim )

Penawar Ujian : Bersangka Baik Dengan Allah


“Ujian selalu bersama orang beriman lelaki dan
perempuan, baik pada diri, anak dan hartanya, sampai 

dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu
kesalahan pun.”

(Riwayat Al-Tirmidzi. Hadis Sahih)

BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH

Allah SWT menurunkan pelbagai ujian dan peringatan untuk mentarbiyah hamba-Nya agar sedar dan tidak berpaling daripada kenikmatan hidup yang disusun dan diciptakkan oleh-Nya. Hal demikian menjadi antara sebab untuk kita tidak perlu mengeluh apabila
dihimpit dengan kemelaratan dan kesusahan hidup.

Sebaliknya, adab pertama apabila menerima ujian musibah adalah, dengan bersangka baik dengan Allah SWT.Sesungguhnya bersangka baik dengan ujian Allah menyuburkan sifat sabar dan redha.

Ramai orang boleh mengucapkan “Sabar..”. Namun apabila musibah menimpa diri sendiri, ianya tidak semudah seperti yang kita sangka.

Ternyata kesabaran adalah anugerah Allah. Tentu sekali apabila dikatakan anugerah, tentulah memerlukan usaha yang istiqomah untuk menyuburkan sehingga akhirnya, kita dipandu oleh Allah ke arah kesabaran.

KENIKMATAN DUNIA ADALAH UJIAN

Kadangkala kita sering menyangka bahawa ujian Allah SWT berupa musibah dan kesusahan sahaja sehingga terlupa, kenikmatan yang kita kecapi termasuklah kejadian alam, hidup dan mati manusia juga merupakan ujian Allah SWT. Hal ini kerana dunia ini adalah
medan ujian. Allah SWT telah menciptakan langit dan bumi, menciptakan hidup dan mati serta menghiasi dunia untuk menguji hamba hamba-Nya, agar Dia (Allah) mengetahui hamba-hamba-Nya yang inginkan redha-Nya atau sekadar menginginkan dunia dan
perhiasan semata-mata.

Sebagaimana firman Allah:

“Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, dan ‘Arasy-Nya di atas air, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” 

(Surah Hud : 7)

Dan begitu juga firman Allah di dalam Surah al- Kahfi:

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji iman mereka, siapakah diantara mereka yang terbaik
amalannya”

(Surah al-Kahfi: 7)

SIKAP MANUSIA KETIKA HADIR KETIKA MENERIMA KEBENARAN

Ketika Rasul-rasul Allah SWT diutus kepada manusia, mereka terbahagi menjadi dua(2) golongan iaitu :-

  1. Golongan yang mengaku dirinya beriman
  2. Golongan yang mengaku dirinya tidak beriman

Walaupun ada yang mengatakan bahawa “Aku beriman”, maka tatkala Allah memberikan ujian kepadanya, maka ternyata, ujian menambahkan mereka lari jauh daripada kebenaran (tidak jujur dan berdusta dalam pernyataan imannya). Mereka berpaling menjauhi dan lari daripada ujian, sebagaimana mereka lari daripada seksaan Allah SWT.

Firman ALLAH:

“Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.”

(Surah Al-Ankabut: 3)

ORANG MUKMIN YANG BERJAYA

Berbeza dengan mereka yang jujur dengan imannya, dia akan tetap dengan ucapannya. Imannya tidak luntur, dengan setiap ujian dan dugaan samada berupa musibah atau kenikmatan hidup yang diberikan kepada mereka, malah perkara tersebut akan menambahkan lagi iman mereka.

Sebagaimana Firman Allah di dalam surah al Ahzab yang bermaksud :

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (menunggu apa yang dijanjikan Allah kepadanya) dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janji).”

(Surah al Ahzab : 23)

Kejayaan mengharungi ujian bukanlah diukur ketika ujian itu terhapus, tetapi ketika kita mampu bersabar dan redha tatkala ujian itu menimpa kita. Rasulullah mendidik umatnya agar sabar itu adalah pada awal ditimpa musibah. Hal ini diriwayatkan di dalam hadis, pada ketika Rasulullah SAW melalui di sebelah seorang wanita yang menangisi lantaran kematian anaknya.

Rasulullah SAW berkata kepadanya,

Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.”

Wanita itu berkata,

“Engkau tidak rasa musibah yang aku alami.”

Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada sahabat
berkata kepada wanita itu bahawa orang yang
menasihati tadi adalah Rasulullah SAW. Alangkah
terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah
Rasulullah SAW dan berdiri pintunya.

Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku tidak
mengenalmu. Sekarang aku sabar.”

Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di awal
musibah.”

(Bukhari dan Muslim)

AZAB BAGI ORANG YANG TIDAK BERIMAN

Sungguhpun bagi orang yang tidak beriman, maka mereka akan diberikan azab oleh Allah SWT iaitu seksaan di akhirat kelak dan seksaan tersebut tentu lebih besar keburukannya daripada cubaan di dunia. Jika sekiranya mereka terlepas daripada seksaan, musibah dan hukuman Allah SWT di dunia manakala pada hari Kiamat maka setiap daripada mereka pasti mendapat fitnah (keburukan) itu.

KHABAR GEMBIRA BAGI ORANG YANG BERIMAN

Sedangkan bagi orang-orang yang beriman, Allah memberikan ujian dan mereka terasa ringan dan mudah untuk digagahi dan memikulnya, hal ini adalah kerana Allah SWT memandu hati mereka kepada kesabaran, keteguhan serta keselamatan yang membuatkan ujian yang berat terasa ringan olehnya.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Taghabun :

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang melainkan dengan keizinan Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya(untuk menerima apa yang berlaku itu dengan tenang dan sabar, dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Al-Taghabun : 11)

Imam Ibnu Katsir R.A dalam mentafsirkan ayat tersebut:

Seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahwa musibah tersebut merupakan ketentuan & takdir Allah Ta’ala, kemudian dia bersabar & mengharapkan (balasan pahala dari Allah Ta’ala), disertai (perasaan) tunduk berserah diri kepada ketentuan Allah Ta’ala tersebut, maka Allah Ta’ala akan memberikan petunjuk ke (dalam) hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan boleh jadi Allah Ta’ala akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan sesuatu yang lebih baik baginya.

Rasulullah SAW juga menyampaikan khabar gembira di dalam hadis qudsi yang bermaksud:

Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, jika engkau bersabar dan mengharap pahala sejak awal tertimpa musibah maka Aku tidak rela memberi pahala untukmu selain Syurga.”

(Riwayat Ibnu Majah. Hadis Hasan)

Rujukan :
Tafsir Terjemahan al Haramain, Karya Bestari.(Ibnu Qayyim al Jauziyaah)

Oksigen Cinta


Oksigen Cinta
(Nukilan : Nurtaufiq)

summer-landscape-nature-wallwuzz_855656

Tiada khazanah yang paling bernilai daripada bernilainya tatkala menyelami tabir diri,
Saat mataku terbuka,
Seringkali ku tertanya-tanya,
Keadaanku di sini,
Keadaanmu di sana,
Tidurku kadangkala tersentak,
Jauh… jauh sayup kedengaran suaramu memanggilku,
tanpa nama, namun kutetap menyahut dengan kudratku yang ada,
Meskipun tanpa dapat kutatap wajahmu,
kerana itu rindu itu sering datang bertamu,
Kerana itu diri ini mahu sentiasa mendengar kewujudan suaramu,
Kadangkala dekat berbisik,
Kadangkala jauh bersuara,
Kadangkala terang bercahaya,
Kadangkala gelap tanpa purnama,
Hingga suatu saat…
Kurasakan sempitnya dunia ini,
Kurasakan betapa sukarnya untuk bernafas,
Memaksa untukku bertindak mengikut kudratku,
Tanpa kupeduli suara yang kesakitan,
Walaupun Ku tahu itu suaramu,
Ku tahu suara itu sering menemaniku,
Ku tahu suara itu tidak pernah mengeluh mengendongku,
Ku tahu suara itu suaramu.. ibuku…
Sehinggaku keluar daripada kegelapan itu,
Yang kulihat hanya wajah yang lemah dan masih mampu tersenyum
melihatku.
Sesungguhnya tiada pernahku rasakan indah yang
seindahnya kelahiranku.

Selamatkanlah Diri Daripada Kelalaian


Selamatkanlah Diri Daripada Kelalaian

Credit to Original Source :  http://wallpapersus.com

Sekadar Gambar Hiasan

Jika Allah ingin menghinakan seseorang hamba, maka Dia akan menyibukkannya dalam urusan lahir dengan melayani makhluk, dan dalam urusan batin dengan mencintainya

Dia akan sentiasa seperti itu, sehingga terhapus cahaya hatinya (lantaran kelalaian mengingati Allah).Setelah itu, cahaya mata zahir menguasai mata hatinya, sehingga dia tidak boleh melihat selain segala yang inderawi.Kemudian, dia bersungguh-sungguh mencari rezeki yang telah diberikan dan dijaminkan untuknya. Sedangkan dia lalai daripada menunaikan kewajiban yang dituntut daripadanya (beribadah)

Jika puncak kesungguhan ialah ketekunan,maka puncak kelalaian ialah meninggalkan, maka puncak keterhapusan mata hati adalah kebutaan, iaitu kekufuran.

Sungguh dunia ini seperti Sg Thalut, tidak akan ada yang selamat darinya selain orang yang tidak meminum airnya atau yang mengambil hanya segenggam tangannya bukan minum untuk memuaskan dahagannya.

(Syeikh Zaruq r.a)

%d bloggers like this: